Thursday, September 17, 2009

Kata Majmuk

Kata Majmuk
-dua atau lebih kata yang digabungkan dan membawa makna baharu yang berbeza dengan maksud asal. Misalnya, rumah sakit tidak menggambarkan makna bagi binaan untuk tempat tinggal tetapi merujuk kepada rumah untuk merawat orang sakit atau hospital.
Ada dua bentuk ejaan kata majmuk, iaitu ditulis secara terpisah dan bercantum. Pada dasarnya, kata majmuk ditulis secara terpisah. Ada tiga jenis kata majmuk yang ditulis terpisah:
1. Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas. Contohnya:
Guru besar, tengah hari, terima kasih, kapal terbang, Menteri Besar, setiausaha politik, dan sebagainya.

2. Kata majmuk yang merupakan istilah khusus. Contohnya:
Garis pusat, atur cara, lut sinar, mata pelajaran, kertas kerja, pita suara, reka bentuk, dan sebagainya.

3. Kata majmuk yang membawa maksud simpulan bahasa. Contohnya:
tumbuk rasuk, gulung tikar, anak emas, kaki bangku, ringan tulang, makan angin, dan sebagainya.

Namun begitu, terdapat juga kata majmuk yang ditulis secara bercantum kerana penggunaanya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan. Dalam Tatabahasa Dewan, antara kata majmuk yang ditulis bercantum ialah antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kerjasama, olahraga, matahari, kakitangan, setiausaha, sukarela, tanggugjawab, tandatangan, warganegara, pesuruhjaya, suruhanjaya, dan sebagainya.

Kata majmuk dapat dikenal melalui beberapa cara. Kata majmuk tidak dapat menerima sebarang penyisipan antara perkataan yang membentuk kata majmuk. Contohnya:

tandatangan tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk tanda yang tangan
urusetia tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk urus yang setia
kaki tangan tidak dapat disisipkan dan bagi membentuk kaki dan tangan
tanah air tidak dapat disispkan dan bagi membentuk tanah dan air

No comments:

Mazlie's Design 2011 © Hak Cipta Terpelihara
Direka Khas Oleh Mazlie Muhammad