Friday, October 30, 2009

Penentuan Keseimbangan Pendapatan Negara

1. Pendahuluan

Pada minggu ini kita akan membincangkan pula tajuk baru iaitu ‘Penentuan Keseimbangan Pendapatan Negara’. Di dalam tajuk ini kita lihat dahulu tentang konsep keseimbangan pendapatan negara dan keseimbangan pendapatan negara dalam ekonomi dua sektor. Antara perkara yang kita akan bincangkan adalah;

a. mendefinasikan keseimbangan pendapatan negara.
b. menjelaskan jenis aliran pendapatan dan perbelanjaan dalam ekonomi dua sektor.
c. menerangkan ciri perbelanjaan isi rumah (perbelanjaan penggunaan) dan perbelanjaan firma (pelaburan).
d. analisis mengenai keseimbangan ekonomi negara dengan menggunakan pendekatan :

i. perbelanjaan agregat-penawaran agregat.
ii. suntikan-bocoran.


2. Maksud keseimbangan pendapatan negara

Keseimbangan pendapatan negara adalah suatu keadaan keseimbangan di mana keinginan firma-firma untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan adalah sama dengan jumlah perbelanjaan yang akan dilakukan dalam ekonomi tersebut. Keinginan firma-firma untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan dikenali sebagai pendapatan negara atau penawaran agregat (AS). Manakala jumlah perbelanjaan yang akan dilakukan dikenali sebagai perbelanjaan agregat (AE). Oleh itu keseimbangan pendapatan negara boleh ditulis secara rumus sebagai, AE = AS.

3. Aliran pendapatan dan perbelanjaan dalam ekonomi dua sektor
Untuk memahami apakah perbelanjaan agregat, perhatikan rajah aliran pusingan pendapatan dalam ekonomi dua sektor di bawah.

Dari rajah di atas, aliran (1) yang juga dikenali sebagai aliran pendapatan menunjukkan pendapatan yang dibayar oleh perusahaan kepada isi rumah kerana sumbangan faktor dalam proses pengeluaran. Aliran (2) pula menunjukkan sebahagian dari pendapatan tadi digunakan oleh isi rumah untuk berbelanja ke atas barang dan perkhidmatan yang telah dikeluarkan oleh perusahaan. Aliran (3) pula menunjukkan sebahagian dari pendapatan isi rumah ditabungkan dalam badan-badan kewangan yang kemudiannya digunakan oleh pelabur untuk membuat pelaburan, seperti aliran (4). Aliran (2) dan aliran (4) juga dikenali sebagai aliran perbelanjaan.

Dari huraian di atas, terdapat dua jenis perbelanjaan secara keseluruhannya telah dilakukan oleh masyarakat dalam ekonomi tersebut. Perbelanjaan tersebut ialah perbelanjaan isi rumah (C) dan perbelanjaan firma (I). Oleh itu perbelanjaan keseluruhan ini yang dikenali sebagai perbelanjaan agregat boleh ditulis dalam bentuk rumus sebagai AE = C + I.


1. Ciri perbelanjaan isi rumah dan perbelanjaan firma

Perbelanjaan isi rumah adalah dipengaruhi oleh pendapatan boleh guna yang diterima oleh semua isi rumah. Oleh kerana dalam ekonomi dua sektor tiada kerajaan, maka pendapatan negara (pendapatan yang diterima oleh semua isi rumah) adalah sama dengan pendapatan boleh guna yang diterima oleh semua isi rumah.

Hubungan antara pendapatan negara dan perbelanjaan penggunaan isi rumah (dikenali sebagai fungsi penggunaan) mempunyai ciri berikut:

a. Pada tingkat pendapatan boleh guna yang sangat rendah, perbelanjaan adalah lebih besar daripada pendapatannya. Oleh itu wujudnya kekurangan pendapatan untuk membiayai perbelanjaan, yang dinamakan sebagai makan tabungan.

b. Semakin besar pendapatan boleh guna yang diterima oleh isi rumah, maka semakin besar perbelanjaan yang dilakukan. Pada tingkat pendapatan boleh guna yang cukup tinggi, maka pertambahan perbelanjaan menjadi semakin kecil dan akhirnya perbelanjaan isi rumah sama dengan pendapatan boleh guna.

c. Pada tingkat pendapatan boleh guna yang sangat tinggi, perbelanjaan isi akan menjadi semakin berkurangan Oleh itu isi rumah mula menabung.

Hubungan tersebut lebih jelas lagi dilihat iika kita menggunakan rajah berikut:

Perhubungan antara perbelanjaan isi rumah dengan pendapatan negara ditunjukkan oleh fungsi C. Titik e menunjukkan keadaan perbelanjaan isi rumah sama dengan pendapatan boleh guna isi rumah. Didapati pada ketika ini fungsi C bersilang dengan garis 45.
Di sebelah kiri titik e, menunjukkan keadaan di mana perbelanjaan isi rumah melebihi pendapatan negara. Oleh itu tabungan adalah negatif (makan tabungan) ketika ini. Pada sebelah kanan titik e pula menunjukkan pendapatan negara melebihi perbelanjaan isi rumah. Oleh itu tabungan adalah positif.

Perbelanjaan firma pula, analisis makroekonomi selalu mengandaikan ianya tidak dipengaruhi oleh pendapatan negara. Ia dinamakan sebagai pelaburan autonomi. Oleh itu perhubungan antara pendapatan negara dengan pelaburan (dikenali sebagai fungsi pelaburan) boleh ditunjukkan oleh rajah di bawah.

Dari rajah di atas, fungsi I digambarkan berbentuk garis lurus kerana ianya tidak dipengaruhi oleh pendapatan negara.

1. Analisis mengenai keseimbangan ekonomi negara
Untuk menganalisis keseimbangan ekonomi negara, kita akan menggunakan dua pendekatan, iaitu:
a. perbelanjaan agregat – penawaran agregat.
b. suntikan – bocoran.

Menurut pendekatan perbelanjaan agregat dan penawaran agregat, keseimbangan ekonomi negara akan tercapai apabila AE = AS.
Seperti yang telah diterangkan di atas, perbelanjaan agregat boleh dinyatakan dalam bentuk rumus sebagai,
AE = C + I

Penawaran agregat pula adalah sama dengan pendapatan negara. Oleh itu ia boleh dinyatakan dalam bentuk rumus sebagai,

AS = Y
Oleh itu keseimbangan ekonomi negara dalam ekonomi dua sektor adalah,
AS = AE
Y = AE
Y = C + I

Menurut pendekatan suntikan-bocoran pula, keseimbangan ekonomi negara tercapai apabila suntikan = bocoran. Suntikan adalah aliran-aliran perbelanjaan yang masuk ke dalam aliran perbelanjaan agregat. Manakala bocoran pula adalah aliran-aliran perbelanjaan yang keluar dari aliran perbelanjaan agregat. Dalam ekonomi dua sektor aliran perbelanjaan yang masuk (suntikan) ialah pelaburan dan aliran perbelanjaan yang keluar (bocoran) adalah tabungan.

Oleh itu keseimbangan ekonomi akan tercapai apabila
pelaburan = tabungan
atau
I = S


No comments:

Mazlie's Design 2011 © Hak Cipta Terpelihara
Direka Khas Oleh Mazlie Muhammad